DEFINISI PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA
Pengangkutan awam atau transit awam merangkumi segala sistem pengangkutan yang mana penumpang tidak bergerak menggunakan kenderaan sendiri. Meskipun istilah-istilah tersebut secara amnya dianggap sebagai perkhidmatan rel dan bas, definisi yang lebih luas boleh merangkumi perkhidmatan penerbangan berjadual feri, teksi dan sebagainya. Satu lagi batasan lanjut yang kadang-kadang dikenakan adalah bahawa pengangkutan itu sepatutnya dijalankan dalam kenderaan yang sentiasa dikongsi, maka terkecualinya teksi yang bukan kongsi tumpang.
Pengangkutan awam biasanya dikenali sebagai pengangkutan umum dan biasanya diatur untuk menawarkan perkhidmatan berjadual dalam laluan tetap tanpa penempahan. Kebanyakan penumpang transit bergerak dalam lingkungan kawasan tempatan di antara rumah mereka dan tempat kerja, pusat beli-belah atau institusi pendidikan.
KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA
Era globalisasi ini, penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan wang dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Hal ini demikian kerana penggunaan kemudahan pengangkutan awam ini telah mendapat perhatian dan menarik minat pengguna jalan raya di negara ini. Pengguna jalan raya menggunakan alternetif ini bagi memudahkan mereka menuju ke destinasi masing-masing. Lantaran itu, mereka telah memilih pelbagai pengangkutan awam seperti bas, LRT, monorel dan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka. Oleh itu, pertumbuhan pengangkutan awam ini telah meningkat dengan mendadak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Penggunaan pengangkutan awam juga mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, amaun kenderaan yang menyusur di jalan raya berkurang dan sekali gus dapat mengalicaukan kenderaan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya di ibu kota. Sebagai pengguna yang peka dan sensitif terhadap keadaan semasa, kita haruslah sedar bahawa, penggunaan kenderaan persendirian yang bertali arus dapat mengundang risiko yang tinggi untuk berlaku kemalangan. Sekiranya, semua rakyat Malaysia memprioritikan pengangkutan awam, sudah tentu statistik kemalangan jalan raya akan menurun dan secara tidak langsung juga negara tidak akan mengalami kerugian dari segi infrastruktur dan modal insan. Sebenarnya, kadar kemalangan jalan raya meningkat secara mendadak pada musim perayaan dan pada waktu puncak kerana pada ketika itu bilangan kenderaan di jalan raya juga meningkat. Jadi semolek-moleknya, jika kita ingin pulang ke kampung pada musim perayaan kita wajarlah menggunakan perkhidmatan awam yang terdapat dalam negara kita sebagai contoh bas, kereta api dan kapal terbang. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam akan dapat mengelakkan seseorang daripada menjadi mangsa nahas kemalangan jalan raya yang keseterusnya. Kita harus ingat bahawa malang tidak berbau jadi kita perlulah beringat sebelum terkena.
Seterusnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Untuk menuju ke destinasi, masyarakat yang berbilang kaum di negara kita akan berpusu-pusu menaiki pengangkutan awam untuk menuju ke destinasi. Situasi sedemikian sedikit sebanyak dapat menyimpul tali silaturahim antara komuniti Melayu, Cina, India dan sebagainya. Sebagai contoh, apabila kita menaiki sesebuah pengangkutan awam khususnya monorel sudah semestinya kita akan berinteraksi dengan individu-individu di sekeliling kita. Seandainya kita menggunakan inisiatif ini secara konsisten, sudah tentu satu ikatan yang erat dapat dijalinkan sekali gus merealisasikan slogan 1Malaysia yang berteraskan satu jiwa satu bangsa. Tegasnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat memupuk perpaduan yang jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang akan membawa kepada pembentukan sebuah negara yang aman dan sentosa ibarat ‘air dalam talam.’
Tambahan pula,penggunaan kemudahan awam dapat merealisasikan persekitaran yang mesra alam selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada pencemaran.Hal ini dikatakan demikian kerana gas karbon monoksida yang dilepaskan daripada asap kenderaan dapat dikurangkan ekoran berkurangnya jumlah kenderaan di jalan raya.Sebagai contoh,pembebasan asap daripada kenderaan akan mendatangkan pelbagai impak negative terutama kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.Dalam konteks ini,asap yang dikeluarkan oleh kenderaan akan menipiskan lapisan ozon dan memaksimumkan tahap pencemaran kualiti udara.Pencemaran udara ini diibaratkanseperti duri dalam daging kepada alam sekitar dan kesihatan manusia.Jika masyarakat menyahut seruan kerajaan untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam,maka tahap pencemaran alam sekitar dapat diminimumkan sekali gus dapat melestarikan persekitaran yang bersih dan indah.Sudah terang lagi bersuluh,penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat merealisasikan persekitaran yang mesra alam.
Tuntasnya, penggunaan perkhidmatan awam di Malaysia menyumbang banyak manfaat dan kelebihan kepada kita semua. Dunia serba moden era ini memerlukan masyarakat yang berdaya saing dalam segala hal. Kerajaan juga hendaklah menaiktaraf perkhidmatan awam di Malaysia agar setanding dengan negara maju yang lain bak kata pepatah “Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Oleh itu, masyarakat Malaysia diseru supaya bersama-sama menggunakan pengangkutan awam agar hasrat kerajaan untuk memajukan negara tidak tinggal impian semata-mata seiring dengan wawasan 2020.
LANGKAH -LANGKAH YANG DAPAT DILAKUKAN UNTUK MENGALAKKAN RAKYAT MALAYSIA MENGGUNAKAN KHIDMAT PENGANGKUTAN AWAM
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam.
Selain itu, kerajaan mestilah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan kualiti pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan penumpang secara keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kualiti perkhidmatan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengangkutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk menambat semula keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.
Seterusnya, kerajaan boleh memasang televisyen dalam bas awam untuk mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka.Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluas dalam pengangkutan awam seperti komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terkini dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi cita rasa rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan bayaran yang minimum.
Justeru itu, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanamkan konsep yang mendalam dalam minda pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja didedahkan kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberikan kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.
CONTOH USAHA MENINGKATKAN TARAF PENGANGKUTAN AWAM "Kita perlu sedar jumlah penumpang tidak ramai dan operator akan mengalami kerugian, jadi kita akan beri subsidi demi kepentingan rakyat luar bandar,"Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kompleks bernilai RM38 juta itu akan berperanan sebagai pusat hentian bas antara negeri dan bandar yang lebih selesa apabila siap dalam tempoh dua tahun kelak.
"Usaha ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Rzak menerusi Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang mahu sistem pengangkutan awam dinaik taraf," katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran permulaan kerja pembinaan Kompleks Terminal Bas Bersepadu Bandaraya Ipoh di sini, hari ini.
Pusat berkenaan akan turut berperanan sebagai pusat perdagangan dan perniagaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.
Turut hadir Pengarah Urusan The Combined Bus Services, Cheong Kong Fitt dan Ketua Eksekutif The Combined Bus Services, Datuk Hiew Yew Chan.
Zambry berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) juga sedang dalam proses perbincangan dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi membina sebuah lagi pusat pengangkutan awam bersepadu di tengah bandar raya Ipoh.
Jelas beliau, projek yang dinamakan Ipoh Sentral itu akan menghubungkan semua pengangkutan awam di bandar raya ini iaitu kereta api, bas dan teksi.
Katanya, pembinaan kemudahan itu akan melengkapkan jaringan pengangkutan awam di Perak sekali gus menjadikannya lebih cekap dan menarik lebih ramai pengguna.
Mengenai sistem pengangkutan awam yang lemah di daerah-daerah, beliau berkata, masalah tersebut perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.
Justeru, katanya, kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam di seluruh negeri yang telah uzur dan menjadi rungutan rakyat.
"Sistem pengangkutan awam di setiap daerah perlu diperbaiki dan dinaik taraf, kita tidak mahu hanya tumpu usaha di Ipoh sahaja.
"Boleh dikatakan semua sistem pengangkutan awam di peringkat daerah perlu diberi perhatian serius kalau tidak usaha menyediakan perkhidmatan terbaik tidak akan tercapai," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri juga bersedia untuk menyediakan subsidi kepada operator bas awam kerana menyedari perniagaan itu tidak akan mendatangkan keuntungan kepada mereka. katanya lagi.
CONTOH GAMBAR PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA